Selasa, 5 Januari 2010

Majlis Mesra Rakyat

01.01.2010 UMNO Bahagian Puchong memula langkahnya dengan menganjurkan Program Mesra Rakyat.
Utusan Malaysia Online
150 ahli PKR, Pas sertai UMNO
KUALA LUMPUR 2 Jan. - Sebanyak 150 ahli parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas Cawangan Pangsapuri Enggang BK6, Bandar Kinrara di sini mengumumkan keluar dari parti itu semalam dan menyertai UMNO.
Mereka bertindak demikian setelah kecewa dengan sikap parti pembangkang itu yang gagal menyelesaikan masalah penduduk setempat.
'Penghijrahan' beramai-ramai itu diketuai Ketua Cawangan PKR Pangsapuri Enggang, Rosman Baharum, 37, dan bekas penyokong PKR, Md. Ali Abdullah, 56, sekali gus melumpuhkan cawangan parti itu di kawasan tersebut.
Lebih menarik, mereka turut mengambil inisiatif menubuhkan dua cawangan UMNO iaitu UMNO Cawangan Enggang BK6 yang diketuai Md. Ali dan UMNO Cawangan Pangsapuri Enggang Utama BK6 yang diketuai Yusnaedy Idrus, 45.
Borang keahlian UMNO kesemua mereka diserahkan Md. Ali kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang, Datuk Dr. Mohamad Satim Diman pada majlis yang bertemakan 'Mana janji-janji kerajaan negeri sebelum ini?'
Turut hadir Timbalan Ketua UMNO Bahagian Puchong, Datuk Raden Mokhtar Md. Yusof dan Naib Ketua UMNO bahagian itu, Ir. Rosli Idrus.
Md. Ali ketika ditemui selepas majlis itu berkata, terdapat 300 keluarga susah di kawasan itu yang dipotong bekalan elektrik dan air kerana gagal membayar bil.
''Pelbagai bantuan diminta kepada pihak berwajib termasuk Exco kerajaan negeri, tetapi jangankan hendak membantu, menjenguk pun tidak,'' ujarnya.
Sementara itu, Mohamad Satim menganggap tindakan ahli parti pembangkang itu merupakan petanda kebangkitan UMNO di Selangor.
"Ia menunjukkan betapa pembangkang hanya tahu berjanji tetapi tidak tahu mengotakannya. Selaku Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Selangor, saya bangga dengan tindakan mereka ini," katanya
Pada majlis itu, Mohamad Satim turut menyampaikan sumbangan UMNO bahagian itu sebanyak RM150 seorang kepada 37 murid sekolah rendah terdiri daripada anak-anak golongan miskin bagi menghadapi sesi persekolahan baru ini.